Tuesday, July 19, 2011

TRAFALGAR SQUARE

Puisi ini dicipta pada tahun 2002, bagi mengenang pertama kali menjejak kaki di bumi England di awal tahun 1990'an. Seperti suatu 'Deja-Vu' ketika sampai ke Trafalgar Square........

DSC_0457

Di Trafalgar Square malam itu
Cuaca sungguh dingin
Bayu November menghembus perlahan-lahan mengena keseluruh tubuhku
Aku peluk erat-erat tubuh muda ini
Agar kedinginannya tidak terlalu menggigit

Di Trafalgar Square aku bersujud kaku
Buat pertama kalinya aku mengenjak kaki di bumi Inggeris
Ini rupanya Trafalgar Square yang terkenal itu
Dan mungkin juga aku pernah ke sini suatu ketika lama dulu
Kerana kerinduan ini begitu memuncak-muncak

Di Trafalgar Square aku memerhatikan pancuran air
Yang keluar dari tengah-tengah kolam buatan
Yang di atasnya berdiri megah patung Jenderal Nelson
Menjadi mercu tanda kemenangan ke atas Napoleon
Dan kini menjadi pusat tumpuan kota London

Di Trafalgar Square aku teringatkan insan yang tercinta
Alangkah romantiknya jika dia dapat bersama
Mengecapi malam indah bersama bintang di langit
Sambil untaian kasih bersilih ganti diucapkan
Dan pastinya kisah cinta kami terpahat di atas kerusi batu itu
Di Trafalgar Square hatiku mula berdetik
Betapa sayunya kota ini akan kutinggalkan sebentar lagi
Kunjunganku hanya beberapa minit sahaja
Namun meninggalkan kesan yang amat mendalam
Dan kerinduan ini masih belum terubat

Di Trafalgar Square aku menunggu bas terakhir
Berwarna merah, dua tingkat dengan penumpang yang sedikit, untuk pulang
Ku pandang panoramamu dari jauh, begitu syahdu untukku tinggalkan
Janjiku padamu Trafalgar Square, akan ku kunjungimu lagi
Jika bukan waktu terdekat, mungkin seratus tahun lagi

Aku pasti kau tetap di situ menantiku….


Rush Murad
Johor Bahru, 14 Mei 2002

DSC_0460

No comments:

Post a Comment